Tip menjaga lantai kayu

Seperti juga perabot kayu, lantai yang diperbuat daripada kayu juga memerlukan penjagaan rapi. Jika tidak, akan cepatlah rosak. Jika pandai menjaganya, lantai kayu anda akan sentiasa kelihatan seperti baru dan nampak ekslusif. Lantai kayu merupakan pilihan buat mereka yang inginkan kelainan. Jika hiasan dalaman dan warna sekitar sedondon dengan lantai kayu pilihan, mata pun syok dan tak jemu jemu setiap kali memandangnya.

Berikut adalah 7 tip yang disyorkan oleh Majalah Impiana, keluaran Disember 2006:

1. Guna kain yang lembut untuk membersihkan lantai kayu. Ini kerana, sesetengah lantai kayu agak sensitif dan mudah tercalar apabila bergeser dengan elemen elemen yang keras seperti berus. Jika tercalar, kesan calaran tersebut mungkin sukar ditanggalkan. Jadi gunakan kain yang lembut sahaja.

2. Sejauh mana tingginya kualiti kayu lantai anda, cuba pastikan lantai tersebut sekali kali tidak disimbahi air. Ini kerana air adalah musuh utama bagi lantai berbahan kayu. Jika selalu terkena air, lambat laun lantai kayu anda akan mengembang atau merekah, sama seperti perabot kayu yang terkena air. Jika lantai terkena air, lapkan dengan kain lembut dan dedahkannya supaya air tersebut cepat kering.

3. Hamparkan permaidani di atas lantai kayu untuk meminimumkan kerosakan pada kayu, terutamanya pada kawasan yang sentiasa dilalui atau diduduki. Pastikan permaidani tersebut yang lembut dan sepadan dengan warna kayu, tapi tidak licin dan membahayakan.

4. Untuk lantai yang dihamparkan permaidani, pastikan permaidani sentiasa dibersihkan supaya tiada kotoran atau bendasing yang terlekat yang boleh mengotorkan dan merosakkan lantai.

5. Minimakan hentakan kasut, terutama kasut bertumit tinggi ke atas lantai kayu yang boleh meninggalkan kesan calar atau lekuk pada lantai. Hentakan kasut bertumit tinggi juga akan menjejaskan corak kayu yang asal dan lantai anda boleh kelihatan buruk.

6. Jangan menggeserkan perabot dengan lantai kayu anda. Sewaktu hendak menggerakkan atau memindahkan perabot, pastikan perabot diangkat dengan kemas supaya tidak berlaga dengan lantai kayu anda dan meninggalkan kesan calar yang tidak elok. Pada masa kini alas pelapik kaki perabot boleh didapati di pasaran untuk mengurangkan kesan calar akibat seretan kaki perabot pada lantai.

7. Letakkan alas kaki untuk meminimumkan kotoran yang bakal melekat di lantai, terutamanya di bahagian pintu utama dan kamar mandi. Pastikan alas kaki ini sentiasa dicuci dan dibersihkan kerana mereka berupaya menyerap habuk dan kotoran dengan kadar yang cepat.

Sumber tip: Majalah Impiana, Dis 2006.

Entry Lain Yang Menarik:

  1. 4 Tip Rekaan Dapur
  2. 5 Tip Kuruskan Badan
  3. Adakah Berlari Berkesan Untuk Kuruskan Badan?
  4. Tip Kurus: Senaman Kardiovaskular atau Senaman Otot?

Comments

Leave a Reply