Rezeki ikan pekasam

KAGUM dan bangga melihat kesungguhan sembilan wanita daripada Kumpulan Ekonomi Wanita, Kampung Kota Aur, Sik, Kedah itu mengusahakan ikan pekasam Klasik yang mendapat sambutan menggalakkan.

Separuh hari mereka habiskan memproses ikan air tawar itu tanpa mengeluh penat atau bosan.

“Melalui aktiviti ini, kami memanfaatkan masa terluang bagi menambah pendapatan keluarga.

Kami menjalankan kerja dari jam 9.30 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Jumaat dan ikan air tawar yang diproses menjadi ikan pekasam itu untuk pasaran tempatan dan luar negara,” kata Pengerusi Kumpulan Ekonomi Wanita terbabit, Che Salma Salleh.

Mengimbau kembali perusahaan yang bermula dua tahun lalu itu, Che Salma yang mewakili kumpulan berkenaan berbangga dengan sokongan serta bimbingan Jabatan Perikanan Malaysia.

Ini kerana individu yang terpilih diberi latihan dan kursus khas berkaitan pemprosesan ikan air tawar selain motivasi kekuatan mental dan fizikal.

Menurut Che Salma, bekalan ikan air tawar diperoleh daripada Tasik Pedu dan nelayan tempatan. Ikan air tawar yang menjadi pilihan ialah lampan, tilapia dan pisang.

Che Salma berkata, ikan yang dibersihkan diletak garam secukupnya dan disimpan dua atau tiga.

Kemudian, ikan itu dibersihkan dengan garam sebelum digaul dengan serbuk beras yang dikisar halus.

Selepas itu, ikan di masukkan ke tong besar yang ditindih dengan benda berat dan disimpan dua minggu sebelum dipek dalam bungkusan.

Katanya, lokasi pemprosesan ikan air tawar berkenaan sering menerima kunjungan pelawat yang mahu melihat sendiri proses menghasilkan ikan pekasam.

“Ada kumpulan pelawat yang sanggup tunggu dari awal hingga petang untuk melihat cara memproses ikan itu.

Ada juga yang meminta resipi ikan pekasam ini”, katanya.

Kunjungan ke tempat itu tidak lengkap jika tidak membawa pulang ikan pekasam Klasik yang dijual antara RM2.50 hingga RM3.00 sebungkus.

Amat membanggakan produk keluaran kumpulan wanita itu kian mendapat sambutan hingga memasuki pasaran Asia Barat seperti Iran dan Mesir.

Technorati Tags:

Sumber: Harian Metro

Comments

One Response to “Rezeki ikan pekasam”

  1. zeze hasri on August 17th, 2007 1:25 am

    wah…macam menarik je perusahaan yg di usahakan oleh kumpulan wanita ini.Saya rasa teruja ingin melihat sendiri cara ikan tersebut di buat.

    Reply

Leave a Reply