Rancangan Martha Stewart diminati

Sejak mucul di kaca televisyen NTV7, rancangan Martha (Stewart) semakin mendapat sambutan. Pada waktu awal kemunculannya, saya perasan isteri saya akan tercongok mengadap tv sambil mata berkedip kedip tengok Martha dalam rancangan flagshipnya itu, walaupun sudah larut malam (12.45am).

Dahulu saya pernah tahu yang Martha Stewart adalah seorang yang berjaya dan juga mempunyai rekod sejarah yang kontroversi tetapi tidak membuat sebarang bacaan atau kajian lanjut sehingga dua tiga hari yang lepas.

Martha popular kerana beliau mempunyai gaya hidup yang santai dan mudah. Dan beliau juga mengesyorkan orang lain mempunyai gaya hidup yang sama, jauh dari kompleksiti. Jadi tidak hairanlah tip tip dan panduan yang dikemukakan dalam rancangan Martha amat mudah dilakukan dan dijadikan tabiat. Konsep DIY (do-it-yourself) oleh Martha adalah konsep DIY yang asli berbanding apa yang diajarkan oleh sumber lain. Sebelum ini ramai suri rumahtangga merungut apabila banyak rancangan DIY yang lain tidak memperkenalkan konsep DIY yang agak sukar diikuti dan seringkali memerlukan bantuan profesional atau separa profesional.

Bila dah baca dari sumber sumber tertentu, barulah saya menyedari bahawa Martha Stewart mempunyai pengaruh yang lebih kuat dari mana mana wanita di Amerika termasuk gaya hidup, perhiasan, perkahwinan, seni kraftangan, hiburan, pemakanan dan sebagainya. Martha digambarkan sebagai lebih popular dari Oprah, dan satu kajian di Amerika menyifatkan Martha sebagai ‘a person who has more influence on the Americans’ households than any other women’. Martha juga memasuki senarai America’s Most Influential Person pada tahun 1996.

Siapa sebenarnya Martha Stewart ini? Adakah kehidupan dan kerjayanya dipenuhi dengan kejayaan semata mata? Kenapa Marta Stewart menjadi antara wajah wanita paling dikenali di Amerika?

Martha dilahirkan dalam sebuah keluarga yang besar dari keturunan Polish, dengan ayahnya seorang broker saham profesional. Pada waktu kecil lagi Martha diajar memasak serta membuat dekorasi di dalam rumah oleh ibunya, manakala ayahnya rajin berkebun dan daripada ayahnya Martha mempelajari teknik berkebun. Di sekolah tinggi, Martha berjinak jinak dengan bidang modeling tetapi masih berjaya mencapai keputusan akademik yang memberangsang dan menjadi antara 10 pelajar terbaik di sekolahnya.

Selepas tamat belajar, Martha memilih broker saham, kerjaya yang sama seperti ayahnya sebagai profesional. Pada waktu ini, kemahirannya memasak, membuat dekorasi dan berkebun sudah terserlah. Dia kemudiannya mengembangkan kemahirannya kepada katering serta persiapan perkahwinan. Bisnesnya berkembang dengan pesat sekali sehinggalah pada satu masa sewaktu dia membuat katering untuk majalah syarikat suaminya, dia diberi peluang untuk menerbit buku katering sendiri.

Maka lahirlah buku ‘Entertaining’, buku yang menjadi best-seller sehingga hari ini dan ‘Entertaining’ menjadikan Martha seorang expert dalam bidang gaya hidup. Martha didekati oleh K-Mart yang menawarkannya menjadi jurucakap mereka. Segala galanya menjadi buat Martha.

Walaubagaimanapun hidup tak selalu indah; Martha menghadapi krisis rumahtangga bersama suaminya dan mereka bercerai pada tahun 1990. Begitupun, dia masih mempunyai mimpi yang diidamkan iaitu untuk menukar sebuah syarikat yang mempunyai seorang pekerja kepada konglomerat besar dan menyenaraikan syarikatnya dalam NYSE. Dia berjaya melakukannya tetapi Martha terpaksa membayarnya dengan harga yang tinggi. Di kemuncak kejayaan, dia diselubungi kontroversi apabila dibabitkan dengan jenayah penipuan saham sebuah syarikat dan dibicarakan.

Martha Stewart dibicarakan dan didapati bersalah dan dihukum penjara selama 5 bulan dan dibebaskan pada awal tahun 2005. Selama 5 bulan dia sengsara, tetapi dalam masa yang sama syarikatnya terus berjalan. Skandal yang melibatkan Martha telah menjejaskan prestasi dan reputasi syarikatnya, tetapi dia masih mahu meneruskan perjuangannya.

Selepas bebas, Martha menerbitkan rancangan The Apprentice: Martha Stewart tetapi mengalami nasib yang jauh berbeza daripada The Apprentice yang asal terbitan Donald Trump. The Apprentice oleh Donald Trump mencipta kejayaan demi kejayaan manakala The Apprentice: Martha Stewart merudum dan akhirnya berkubur. Martha kembali ke arena penyiaran dengan menjadi hos kepada rancangan yang kini digemari ramai, ‘Martha’ yang kita lihat pada hari ini. Beliau mahu meneruskan tradisinya menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat dan keluarga di seluruh dunia.

Comments

Leave a Reply