Radzuan Radziwill
Siapa sangka anak yang dilahirkan di kampung dan jauh dari dunia fesyen kini boleh menjadi antara pereka fesyen yang menyerlah di Malaysia. Apabila Radzuan terpilih memasuki Institut Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang rekaan fesyen, dia tidak memandang ke belakang lagi.
Kini Radzuan Radziwill menjadi nama yang tidak asing dalam dunia fesyen tanah air. Pakaian hasil rekaan Radzuan seringkali digayakan oleh VVIP, isteri isteri orang kenamaan, selebriti, kerabat diraja dan banyak lagi. Kata Radzuan, semuanya bergantung kepada minat. “Jika tiada asas, tetapi mempunyai minat dan sanggup belajar bersungguh sungguh, satu hari nanti kita akan menempa kejayaan.”
Selepas mendapat ijazah, Radzuan melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang rekaan fesyen di Bungka University, Tokyo. Selepas tamat pelajaran, dia menimba pengalaman bekerja selama 6 bulan sebelum mengambil keputusan membuka perniagaan sendiri.
Kini, beliau bangga dengan 3 outlet perniagaannya iaitu Butik Radzuan Radziwill (City Point Kompleks Dayabumi), Aura by Radzuan Radziwill (Alamanda Putrajaya) dan Kunang Kunang (KLCC).
Hasil kreativiti Radzuan juga terserlah dengan beberapa anugerah yang dimenanginya termasuk Anugerah Benang Emas 1996, Piala Sri Endon 2005 dan Tokoh Jarum Berlian 2005 sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur.
Bagi Radzuan juga, bidang fesyen dan rekaan adalah bidang yang mencabar dan oleh itu kesabaran yang tinggi diperlukan untuk mengecapi kejayaan di bidang ini. Selain itu, kemahiran berkomunikasi serta khidmat pelanggan juga amat penting untuk mengekalkan pelanggan serta mendapat pelanggan yang baru.
Baginya juga, tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan selain kerja gigih dan kuat tanpa mengenal erti putus asa. Seorang pereka fesyen juga harus sentiasa meningkatkan mutu dan kualiti kerja dan bukan sekadar berpuas hati dengan kejayaan sekarang. Dan Radzuan memang berhasrat untuk terus memajukan dirinya agar nama Radzuan Radziwill tidak akan lenyap dari bibir peminat fesyen.
Dibawakan bersama oleh:
Sisipan artikel dari majalah Wanita, April 2006.
Comments
One Response to “Radzuan Radziwill”
Leave a Reply





[...] kontroversi melanda dengan ciptaan fesyennya yang ditolak untuk memberi laluan kepada rekaan Radzuan Radziwill untuk dipakai oleh Linda Onn sewaktu pelancaran Red Carpet di [...]