Pirates of The Caribbean 3: At World’s End

Siri filem Pirates of the Caribbean mengekalkan reputasinya sebagai Filem Mengarut Yang Paling Best Ditonton dengan kemunculan Jack Sparrow bersama Pirates of The Caribbean 3: At World’s End.

Dalam filem yang sebelumnya, Pirates of the Caribbean 2: The Dead Man’s Chest, Jack Sparrow (Johnny Depp) telah ditelan bersama kapal Black Pearlnya oleh Kraken, binatang peliharaan Davy Jones dan dihantar ke Davy Jones’ Locker dalam kehidupan yang penuh halusinasi. Sementara itu, jantung milik Davy Jones jatuh kepada Lord Beckett yang ingin menguasai laut dan memerangi lanun. Jones terpaksa akur pada arahan Beckett jika tidak mahu jantungnya dimusnahkan yang akan mengakibatkan kematiannya. Atas arahan Beckett, Kraken yang menjadi musuh kepada pengembara di laut juga dimusnahkan.


Dalam filem yang terbaru, Will Turner, Elizabeth Swann, Kapten Barbosa dan kru krunya dengan bantuan Calypso dan ketua lanun berpangkalan di Singapura, Sao Feng telah mengembara untuk mencari Jack Sparrow dan Black Pearl di hujung dunia. Masing masing mempunyai niat yang berlainan dalam usaha menyelamatkan Jack. Will mahukan Black Pearl untuk membebaskan bapanya daripada terus menjadi hamba Davy Jones. Elizabeth pula menyertai gerakan menyelamat kerana rasa bersalahnya mengumpan Jack kepada Kraken. Sementara Barbosa mahu Jack menyertai perjumpaan 9 ketua lanun dalam usaha memerangi Lord Beckett dan Davy Jones.

Dalam peperangan besar besaran, Lord Beckett dan askarnya telah bergabung dengan Davy Jones dan kru kapal The Flying Dutchman. Dalam aksi yang penuh dramatik, Flying Dutchman dan Black Pearl telah bertembung dan berperang sesama mereka. Sambil Jack Sparrow dan Barbosa mengepalai pertarungan masing masing, Will Turner dan Elizabeth Swann melangsungkan perkahwinan di atas kapal. Malangnya, Will akhirnya tewas dan berjaya dibunuh oleh Davy Jones di atas kapal Flying Dutchman.

Davy Jones berjaya dibunuh tetapi siapakah yang membunuhnya? Selain itu, kapal The Flying Dutchman mesti ada seorang kapten, dan jika kaptennya (Jones) mati, seseorang perlu ambil alih tugasnya sebagai kapten. Johnny Depp masih mampu mengekalkan prestasi persembahan Jack Sparrow yang mengarut dan lucu. Dalam filem ini, Jack menemui seorang daripada ahli keluarganya. Siapa? Lord Beckett juga menemui penghujung harapannya. Kisah cinta Will dan Elizabeth juga berakhir dengan menyayat hati, tetapi apakah kesudahan sebenar mereka? Apa yang bakal terjadi kepada Will Turner dan ayahnya Bootstrap Turner?

Comments

Leave a Reply