Krishnan dan Kuok Terkaya di Malaysia

Dalam senarai terbaru jutawan paling kaya yang dihasilkan oleh majalah Forbes, Ananda Krishnan dan Robert Kuok adalah 2 rakyat Malaysia yang paling kaya di negara ini. Kedua dua mereka terikat pada tangga ke-62 di dunia dengan kekayaan yang dianggarkan kira kira US7 billion (lebih RM20 billion).

Pada tahun 2008, iaitu tahun yang sebelumnya, Robert Kuok telah dinobatkan sebagai manusia terkaya di negara ini dan Ananda Krishnan mengekori rapat di belakangnya. Pada tahun ini, kedua duanya seri. Sama kaya.

Robert Kuok terkenal dengan hasil kekayaan menerusi perniagaan gula. Setelah bisnes gulanya memberikan pulangan yang lumayan, Kuok mula melibatkan diri dalam pelbagai lagi bidang perniagaan termasuklah perhotelan, pembalakan, kuari, logistik dan pengangkutan. Kuok juga memiliki rangkaian hotel terkemuka Shangri-La.

Ananda Krishnan juga mempunyai nama kukuh dalam pelbagai bidang perniagaan termasuklah telekomunikasi, kejuruteraan, perfileman dan sebagainya.

6 lagi rakyat Malaysia yang disenaraikan oleh Forbes sebagai billionaire adalah Lee Shin Cheng (IOI Group), Teh Hong Piow (Public Bank), Quek Leng Chan (Hong Leong) dan Yeoh Tiong Lay (YTL Group). Manakala beberapa nama lain dilihat tersingkir dari senarai, terutamanya Syed Mokhtar al-Bukhary, Vincent Tan dan ahli keluarga Lim Goh Tong, yang meninggal dunia beberapa tahun lepas.

Nabil Juara Anugerah Bintang Popular 2009

Nabil, juara Raja Lawak musim kedua, terus menempatkan dirinya kukuh di persada seni tanah air apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009. Nabil menewaskan artis artis tempatan yang lain termasuk Mawi, Datuk Siti Nurhaliza, Aznil Nawawi dan juga Meet Uncle Hussain.

Nabil menggondol anugerah Artis Baru Lelaki Popular dan juga Artis Komedi Lelaki Popular. Dengan kemenangan itu juga, Nabil membawa pulang hadiah lumayan termasuk sebuah kereta Nissan Sylphy 2.0L, set barang kemas dari Rafflesia, pakej penginapan di hotel lima bintang dan juga trofi kejuaraan.

Artis artis yang menerima kemenangan dalam kategori masing masing termasuklah Que Haidar (Pelakon Filem Lelaki Popular), Maya Karin (Pelakon Filem Wanita Popular), Mawi (Penyanyi Lelaki Popular), Siti Nurhaliza (Penyanyi Wanita Popular), Rosyam Nor (Pelakon TV Lelaki Popular), Dynas (Pelakon TV Wanita Popular), Meet Uncle Hussain (Penyanyi Berkumpulan), Rabbani (Kumpulan Nasyid), Norkhiriah (Artis Komedi Wanita), Stacy (Artis Baru Wanita), Faizal Ismail (Penyampai Radio Lelaki), Fara Fauzana (Pengacara TV Wanita & Penyampai Radio Wanita) dan Aznil Nawawi (Pengacara Lelaki).

Turut sama memenangi adalah Jamal Abdillah (Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat). Siti Nurhaliza juga mencatat rekod memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular selama 12 tahun berturut turut.

Tahniah Nabil dan pemenang pemenang lain.

Arni Nazira Kahwin

Arni Nazira, yang telah 2 tahun bercerai dengan bekas penyanyi kumpulan Wings, Awie, telah berkahwin buat kali kedua. Yang menariknya, lelakinya yang dikahwini buat kali kedua ini adalah bekas teman lelakinya sebelum beliau berkahwin dengan Awie dulu.

Arni dan pasangannya, Wan Mohd Hazri Wan Mokhtar, diijabkabulkan di Masjid Abidin, Kuala Terengganu pada 9 April yang lalu. Wan Mohd Hazri ialah seorang ahli perniagaan. Kedua dua anak Arni, Puteri Aleesya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha, turut serta dalam majlis perkahwinan tersebut.

Tahniah, dan semoga perkahwinan anda berkekalan.

← Previous PageNext Page →