Payung Terjun LIMA - 3 Anggota Tentera Terbunuh
3 anggota tentera Malaysia - 2 wanita dan 1 lelaki - terbunuh ketika menjalani latihan payung terjun sempena pertunjukan Pameran Antarabangsa Maritim, LIMA (Langkawi International Maritime Airshow) semalam. Ketiga tiga mereka tersasar dari sasaran pendaratan kerana ditiup angin deras dan terjatuh ke dalam laut dan lemas.
11 penerjun juga mengalami kegagalan mendarat dan mengalami kecederaan. Seorang daripada mereka dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Langkawi.
Mereka yang terbunuh ialah Siti Hajar Yaakob, 24, Nurul Wahida Yusof, 20 dan Raymond Duncan, 25.
Kesemua mereka adalah di antara 138 anggota pasukan tentera yang membuat penerjunan latihan apabila angin kencang yang bertiup dengan tiba tiba menolak mereka jauh terlepas dari sasaran sehingga ada di antara mereka yang tersangkut pada pokok. Diantara 18 hingga 20 orang terjatuh ke dalam laut, termasuk 3 yang maut.
Majlis perasmian LIMA akan diadakan hari ini.
Mayat ketiga-tiga mereka diterbangkan dengan pesawat TUDM M30-12 yang mendarat di lapangan terbang TUDM, Subang pada pukul 11.30 malam. Jenazah Nurul Wahida dan Siti Hajar, masing-masingnya dihantar menaiki kenderaan jenazah ke Perak dan Melaka. Mayat mendiang Raymond pula diterbang ke Sarawak dengan pesawat TUDM.
Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera, semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini.
Pelakon Hussein Abu Hassan Meninggal Dunia
Pelakon veteran Hussein Abu Hassan yang dahulunya aktif berlakon drama dan filem meninggal dunia pagi Isnin tadi jam 5.30 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Allahyarham Hussein berumur 70 tahun, dan meninggal disebabkan komplikasi akibat kerokan fungsi limpa.
Antara filem yang menonjolkan bakat Hussein Abu Hassan adalah filem Gila Gila Remaja yang popular pada tahun 1980-an yang juga dibintangi oleh anaknya sendiri, Faizal Hussein. Hussein mengarah dan menjadi pelakon pembantu dalam Gila Gila Remaja. Isterinya, Mahyon Ismail, juga berlakon dalam filem tersebut.
Jenazah Allahyarham disemadikan di Perkuburan Setapak, Taman Ibukota, Kuala Lumpur. Allahyarham dilahirkan di Mersing dan pernah menjawat jawatan bersama pasukan polis sebelum memulakan kariernya sebagai pembantu pelakon dalam filem Sri Mersing. Lakonannya yang mantap membolehkan Hussein diberi watak dalam filem filem lain seperti Tun Teja, Panglima Besi, Laksmana Do Re Mi dan lain lain.
Alfatihah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Hussein Abu Hassan dan semoga bersabar menghadapi dugaan ini.
Angkasawan Mejar Dr Faiz Khaleed Cedera Ditetak
Angkasawan Mejar Dr Faiz Khaleed cedera ditetak oleh 2 orang penyamun yang bersenjatakan parang dalam kes awal pagi tadi. Dr Faiz dan rakannya diserang sewaktu dalam perjalanan pulang dari minum ringan di Kuala Lumpur dan berlaku kira kira jam 2 pagi.
Selepas minum, Dr Faiz dan rakannya beredar menaiki kereta rakannya itu ke rumah Dr Faiz. Ketika tiba di hadapan ruman Dr Faiz, 2 orang lelaki menghampiri mereka dan menolak Dr Faiz hingga terjatuh. Kedua dua lelaki itu kemudiannya mengalih perhatian kepada rakan Dr Faiz di dalam kereta dan meragut rantainya.
Dr Faiz bangun melawan dan bergelut dengan kedua dua penyamun tersebut. Dalam pergelutan tersebut, salah seorang penyamun telah menghayun parang dan mengenai tangan kirinya. Dalam keadaan tercedera, Dr Faiz membuka pintu pagar automatik rumahnya menyebabkan penyamun tersebut terkejut dan melarikan diri.
Diharap semoga Mejar Dr Faiz akan cepat sembuh dari kecederaannya.




