Memulakan perniagaan katering
Anda pandai dan suka memasak? Mengapa tidak gunakan kepakaran itu dengan membuka perniagaan katering. Selain itu, sebagai hobi, anda akan melakukannya dengan penuh kusyuk sekali dan dalam masa yang sama, bolehlah menambahkan pendapatan. Silap silap boleh jadi jutawan. Tetapi, sebelum memulakan perniagaan katering, ada baiknya anda jenguk beberapa panduan yang boleh dijadikan rujukan.
1. Pilih jenis perniagaan katering yang anda akan lakukan. Adakah ia jenis katering yang bersifat umum atau khusus. Katering khusus bererti katering yang memerlukan anda menyakikan makanan untuk acara tertentu dengan menu khusus seperti majlis hari jadi, perkahwinan, mesyarat atau makan malam formal. Sementara katering umum lebih bersifat fleksibel. Ia boleh digunakan untuk sebarang acara.
2. Buat kajian dan tinjauan untuk mengetahui pasaran dan juga pesaing anda. Cuba cari maklumat mengenai harga, kualiti makanan dan juga kualiti penyajiannya. Makin banyak maklumat yang anda, semakin bersedia anda untuk memulakan langkah pertama. Anda juga akan lebih bersedia untuk menghadap persaingan sedia ada dan juga persaingan baru yang bakal mendatang.
3. Hitung kos pengeluaran yang diperlukan. Pada awal awal perniagaan juga, pastikan anda meletakkan bujet untuk melakukan promosi seperti mengeluarkan risalah untuk diedarkan. Tidak salah juga untuk melanggan iklan di surat khabar atau radio, jika anda telah membuat perkiraan. Jangan lupa untuk menggunakan internet sebagai medium pemasaran anda. Untuk pelanggan yang menggunakan khidmat anda, dapatkan maklumbalas dan testimoni. Tawarkan harga yang berpatutan kepada pelanggan atas setiap tempahan.
4. Minimakan kerisauan terhadap lokasi operasi tetapi tumpukan perhatian kepada lokasi pasaran. Ini kerana dalam bidang katering, lokasi premis kurang penting berbanding prospek pelanggan. Jika prospek pelanggan berada di sekitar tempat anda duduk, rumah anda adalah lokasi operasi yang terbaik.
5. Manfaatkan anggota keluarga, sanak saudara dan sahabat handai untuk mempromosikan perniagaan katering anda secara ‘word of mouth’. Ia boleh menjadi promosi yang paling berkesan terutamanya pada peringkat permulaan perniagaan anda. Di samping itu juga, anda boleh mengambil mereka untuk berkerja dengan anda dengan bayaran yang berpatutan. Ia menjimatkan kos.
6. Buat tinjauan tentang alatan dan perkakas yang diperlukan untuk mengendalikan perniagaan katering. Contohnya pinggan mangkuk, bekas nasi/kuih muih, sudu, garfu, peralatan dapur, lapik meja, meja, kerusi dan peralatan lain dan pastikan ia melengkapi keperluan anda sebagai seorang peniaga katering. Beli dalam kuantiti yang mencukupi. Perkara terakhir yang ingin anda lakukan ialah meminjam peralatan daripada pelanggan anda sendiri!
7. Jika tiada modal sendiri, usah khuatir. Buat rancangan perniagaan dan dokumenkan rancangan perniagaan anda untuk mendapatkan pinjaman atau bantuan kewangan dari pihak bank. Jika rancangan perniagaan anda dbuat dengan teliti, anda akan dapat melihat samaada perniagaan katering anda bakal mendapat pulangan yang baik atau sebaliknya.
Comments
Leave a Reply



