Lagi Pelatih PLKN Meninggal Dunia
Malaysia dikejutkan dengan berita kematian seorang lagi pelatih PLKN. Kali ini mangsa mengikuti program PLKN di Kem Cheneh Cemerlang, Kemaman, Terengganu. Semalam, Mohd Rafi Ameer, 18 tahun meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tunku Ampuan Affzan selepas mengalami muntah muntah dan pengsan. Berita ini sudah pastinya akan meningkatkan lagi kebimbangan ibu bapa yang menghantar anak anak mereka mengikuti program PLKN berikutan selepas beberapa insiden dan kematian yang melibatkan pelatih.
Laporan daripada doktor mendapatai Mohd Rafi meninggal akibat sakit kuning yang didakwa berpunca daripada makanan yang dicemari najis haiwan.
Mangsa yang juga seorang yatim piatu sebelum ini menghubungi kakaknya dan ahli keluarga yang lain meminta mereka membawanya pulang, tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian disebabkan jarak yang jauh di Kuala Selangor dan juga tidak mampu berbuat demikian. Kerana tidak berpuas hati dengan layanan daripada pihak pengurusan kem, kakak Rafi, Jubaidah Ameer, 24, telah membuat laporan polis.
Takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham Mohd Rafi. Harap harap semoga ahli keluarga beliau bersabar.
Pada bulan April 2006, seorang pelatih PLKN, Haziq Jaafar, 17 tahun meninggal dunia akibat bertumbuk dengan seorang rakan pelatih. Pada bulan 22 Mei 2007, seorang lagi pelatih dari Kem Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Theresa Paulin, 17 juga meninggal dunia selepas didakwa diserang sawan sewaktu mengikuti latihan fizikal. Manakala pada bulan Januari 2007, Illi Ameera Azlan yang mengikuti kurusn PLKN di Kem Ayer Keroh meninggal dunia akibat sesak nafas.
Beberapa insiden kematian pelatih PLKN diselubungi misteri dan tanda tanya dan seringkali dikaitkan dengan kecuaian. Jika fenomena sebegini berlarutan, tidak mustahil semakin ramai ibu bapa yang tidak membenarkan anak anak mereka mengikuti PLKN kerana bimbang tentang keselematan anak mereka.
Comments
Leave a Reply



