4 Tip Rekaan Dapur
Rekaan dapur datang dalam pelbagai bentuk, warna, keperluan dan fungsi fungsi yang tersendiri. Ada dapur yang ringkas, komplikated, berwarna warni dan juga saiz yang berlainan. Ada yang sukakan dapur yang besar, ada juga yang sebaliknya lebih gemarkan saiz dapur yang kecil.
Pendek kata, semua orang mempunyai citarasa masing masing.
Berikut adalah 5 nasihat terhadap mereka yang ingin mempunyai dapur yang praktikal dan dalam masa yang sama menepati citarasa:
1. Saiz dapur
Besar tidak semestinya bagus. Oleh itu pentingkan ciri ciri praktikaliti dan kemudahan memasak. Dapur yang besar boleh memberi ruang yang amat selesa, namun masalah mungkin timbul sewaktu memasak kerana bahan bahan makanan mungkin berada jauh di tempat memasak. Dapur yang terlalu luas juga memerlukan penjagaan yang rapi kerana tanpa penjagaan yang sempurna, dapur akan kelihatan kotor dan berselerak.
2. Kabinet
Terdapat banyak bentuk kabinet yang diperbuat dari pelbagai jenis bahan atau material seperti kayu nyatuh, cengal, jati, solid wood dan sebagainya dan harga setiap kabinet itu pula bergantung kepada jenis bahan yang digunakan. Ada kabinet yang dibina secara terbuka (tanpa pintu) dan ada banyak yang direka secara tertutup. Mekanisme tutup dan buka kabinet juga ditawarkan oleh pelbagai teknologi, samaada dari dalam atau luar negeri.
Jika bajet anda tergolong dalam kategori sederhana (RM5,000 ke atas) atau tinggi (RM10,000 ke atas), luangkan sedikit masa untuk melawat beberapa pereka dapur untuk melihat harga dan bentuk kabinet yang boleh ditawarkan oleh syarikat pereka.

Sesetengah pereka menawarkan khidmat melakar bentuk kabinet dalam perisian tertentu secara tiga dimensi untuk dilihat dan dinilai oleh pemilik rumah.
Bergantung kepada saiz dapur, saiz keseluruhan kabinet boleh berubah ubah. Jika anda mempunyai barang dapur yang banyak atau merancang untuk membeli banyak perkakasan untuk dapur, sahlah bahawa anda perlukan kabinet yang mempunyai ruang yang luas.
3. Dapur kering dan dapur basah
Ramai orang kini suka kepada trend membahagikan dapur mereka kepada dapur kering dan dapur basah. Dapur kering selalunya adalah kawasan di mana aktiviti aktiviti masakan lebih melibatkan masakan yang ringkas seperti menggoreng telur atau sosej manakala dapur basah dikhususkan untuk aktiviti memasak yang memerlukan pencucian yang agak berat. Dapur basah juga selalunya menghasilkan bau yang agak kuat.
Tetapi memiliki kedua dua dapur kering dan basah tidak semestinya satu kemestian, malah Chef Wan, seorang pakar tukang masak sendiripun hanya mempunyai dapur kering sahaja. Beliau boleh memasak sebarang jenis masakanpun di dapur keringnya kerana dapurnya dilengkapi dengan hud yang menyerap bau dan mengalirkannya ke tempat yang lain.
4. Unit pulau atau ‘island’
Mereka yang sukakan rancangan masakan sudah pasti perasan kebanyakan daripada chef yang memasak di kaca TV menggunakan unit pulau atau ‘island’. Tidak seperti kebanyakan dapur yang selalunya menghadap dinding atau tingkap, unit pulau membolehkan orang lain melihat aksi kita sedang memasak dan menjadikan aktiviti memasak itu lebih menyeronokkan.
Jika anda seorang yang mahir memasak dan sering dikunjungi tetamu yang ingin belajar sesuatu dari anda, kemungkinan anda perlukan unit pulau ini. Walaubagaimanapun, unit pulau ini kadangkala datang dengan harga yang mahal, terutamanya unit yang menggunakan ‘table top’ yang berkualiti seperti granite dan batu quartz. Semak harga daripada beberapa pereka dapur dan buat perbandingan sebelum membuat sebarang keputusan.
Gambar ehsan jkitchen.com.
5 Panduan Memilih Perabot Jati

Perabot jati memang perabot kegemaran ramai. Ia cantik, kemas dan nampak padu. Walaupun harganya lebih mahal daripada kayu kayu lain seperti cengal dan sebagainya, perabot yang dihasilkan daripada kayu jati mampu bertahan sehingga bertahun tahun lamanya. Berikut adalah 5 panduan yang boleh anda gunakan sewaktu memilih perabot kayu jati.
1. Tentukan gred perabot tersebut
Secara umumnya, perabot jati dibahagikan kepada 3 gred, iaitu gred A, gred B dan gred C. Gred ini bakal menentukan tahap harga perabot yang dijual. Gred A lebih mahal dari gred B, manakala gred B lebih mahal daripada gred C. Ini kerana perabot gred A dipotong daripada kayu jati yang paling berkualiti, dan telah mencapai usia yang matang (sehingga lebih 20 tahun). Kayunya kelihatan amat kukuh.
Jika anda tidak tahu, tanya pemilik kedai tentang gred kayu perabot mereka. Selalunya, mereka tidak akan menipu dan memain mainkan gred. Jika mereka sendiri tidak tahu, sahlah mereka ini cetek pengalaman dalam perniagaan kayu jati.
Walaupun pengetahuan anda mengenai kayu jati mungkin kurang mendalam, tetapi apabila anda mengamati dan membandingkan antara gred A, gred B dan gred C, anda akan nampak perbezaannya. Oleh kerana perabot gred A mahal, banyak diantaranya dieksport ke luar negeri untuk pasaran antarabangsa. Perabot jati gred B dan gred C paling mudah di dapati di Malaysia.
Rumah Paling Mahal Di Dunia
Jika orang terkaya di dunia pada masa ini, Warren Buffett, memilih untuk tinggal di rumah yand dibelinya pada tahun 50-an pada harga RM200,000 (kini rumahnya berharga RM900,000), orang kelima terkaya di dunia, Mukesh Ambani dari India tidak mahu memilih jalan yang sama. Sebaliknya dia mahu mencipta rekod memiliki rumah yang paling mahal di bumi ini.
Berapakah agaknya harga rumah yang dibina itu? RM5 juta? RM10 juta? RM100 juta?
Semua tekaan salah.
Manakan tidak, harga rumah yang dijangka siap pada awal tahun 2009 itu dikatakan bakal mencecah US$2 billion (RM7 billion)! Setelah siapnya rumah itu kelak, ia bakal mengatasi harga rumah paling mahal buat masa ini yang dimiliki oleh pemilik kelab bolasepak ternama, Chelsea, iaitu Roman Abramovich sebanyak 4 kali ganda. Kediaman yang diberi nama La Leopolda itu terletak di Monte Carlo, Perancis dan dibeli oleh Roman pada pertengahan tahun ini pada harga US$500 juta.
Buat masa ini, rumah Mukesh Ambani, yang bertempat di tanah kelahirannya Mumbai, India, sedang dalam proses pembinaan oleh syarikat yang bertanggungjawab merekabentuk dan membina rangkaian Hotel Mandarin yang berprestij tinggi.


