Jemaah Haji Pantai Timur Guna Lapangan Terbang Terengganu
Bermula musim ini, jemaah haji dari negeri negeri di pantai timur termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak lagi bakal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tetapi sebaliknya akan menggunakan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu, Terengganu. Ia adalah satu kemudahan untuk mengelakkan jemaah haji, terutamanya mereka yang dari golongan berusia, daripada mengharungi perjalanan jauh antara negeri masing masing dan Kuala Lumpur.
Sebelum ini, semua jemaah haji akan berkumpul di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, sebagai pusat transit, sebelum dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untukberlepas ke Mekah dan Madinah.
Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, kini dalam proses penaikan taraf untuk membolehkan lapangan terbang tersebut menerima operasi daripada pesawat Boeing 747. Kerja penambahbaikan kini dalam proses terakhir dan dijangka siap dalam seminggu dua ini. Sebanyak kira kira 20 pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) bakal digunakan pada musim haji pada kali ini bagi menampung keperluan menghantar pergi dan pulang hampir 8,000 jemaah haji dari pantai timur.
Tabung Haji juga dalam proses untuk membina sebuah kompleks tabung haji bagi memudahkan mereka yang memerlukan tempat penginapan bermalam. Untuk musim haji pada tahun ini, Kompleks Sukan Gong Badak, yang terletak hanya kira kira 1 kilometer dari Lapangan Terbang Kuala Terenganu digunakan sementara bagi menempatkan jemaah haji yang bakal berlepas ke Tanah Suci.
Frank Lampard Terima Gaji Paling Mahal di Liga Inggeris
Frank Lampard menjadi pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menerima gaji paling mahal apabila menandatangai kontrak baru bersama Chelsea pada bulan Ogos yang lepas. Menerusi kontrak itu, Lampard, yang juga ketua pasukan Chelsea, akan menerima gaji lumayan sebanyak £140,000 (RM850,000) seminggu atau £560,000 (RM3.4 juta sebulan).
Angka tersebut telah memecahkan rekod gaji termahal yang sebelum ini dipegang oleh rakan sepasukannya sendiri dari Chelsea iaitu John Terry iaitu £135,000 seminggu. Jika Lampard adalah kapten pasukan Chelsea, John Terry pula adalah ketua pasukan kebangsaan England.
Jumlah £140,000 tersebut juga hanya sedikit sahaja daripada gaji yang diterima oleh pemain termahal di dunia, Kaka yang bermain untuk AC Milan dan Brazil. Kaka dibayar hampir £145,000 seminggu.
Keputusan Lampard untuk menandatangani kontrak terbaru juga telah menamatkan spekulasi yang menyatakan beliau bakal berpindah dari Chelsea dan berhijrah ke AC Milan, yang kini dibimbing oleh bekas pengurus Chelsea, Jose Maurinho. Lampard mempunyai hubungan yang rapat dengan Maurinho dan mempamerkan peningkatan mendadak dibawah seliaan Maurinho.
Di bawah kelolalan Maurinho juga, Chelsea memenangi gelaran juara liga 2 tahun berturut turut. Jurulatih dari Portugal itu meletak jawatan pada musim ketiga, ketika prestasi Chelsea berada dalam terumbang ambing.
Promosi Raya Dari Kraftangan Malaysia
Sempena bulan Ramadan 2008, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) akan mengadakan promosi jualan Hari Raya selama seminggu bermula pada 13 September hingga 21 September 2008.
Jualan yang bakal berlangsung dari pukul 10 pagi hingga ke pukul 5 petang itu akan berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay. Pelbagai barangan kraftangan tempatan akan dipamerkan dan dijual kepada pengunjung yang bakal disajikan dengan pelbagai pilihan produk samaada untuk digunakan sebagai perhiasan pada Hari Raya atau sekadar membeli untuk dibuat koleksi di rumah.
Selain daripada pameran dan jualan, acara lain juga disediakan untuk menambah minat dan terikan kepada pengunjung. Antaranya ialah pertandingan mewarna kain batik serta panduan untuk memasak ketupat raya.
Kraftangan Malaysia adalah sebuah badan yang bernaung di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA), yang dilahirkan dengan tujuan untuk menjana pertumbuhan dan mempromosikan industri kraftangan di negara ini. Antara program pembangunan yang diselaraskan oleh Kraftangan Malaysia ialah Program Penyelidikan dan Pembangunan, Pembangunan dan Promosi, Pembangunan Usahawan Kraf, Latihan Kemahiran Kraf, dan Program Pemuliharaan Kraf.


