Tip Kurus: Senaman Kardiovaskular atau Senaman Otot?
Senaman baik untuk kesihatan, tidak kiralah samaada senaman kardiovaskular atau senaman otot. Seboleh bolehnya luangkan sekelumit masa yang ada setiap hari untuk melakukan aktiviti aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh dan memberi kesan positif terhadap gaya hidup kita.
Namun, apabila bercakap tentang tip kurus atau tip mengurangkan berat badan, senaman manakah yang lebih berkesan? Senaman kardiovaskular atau senaman otot? Atau adakah kedua duanya sama sahaja?
Sebelum kita menghurai lebih lanjut mengenai keberkesanan kedua dua latihan tersebut, terlebih dahulu ada eloknya kita mengkaji apakah itu senaman kardiovaskular dan apakah pula senaman otot. Senaman kardiovaskular (atau ringkasnya kardio) adalah senaman yang melibatkan peningkatan kadar denyutan jantung dan antara aktiviti yang tergolong dalam kategori ini adalah berlari, jogging, bermain bola sepak, berbasikal dan sebagainya.
Manakala senaman otot adalah senaman yang melibatkan daya tahan otot seperti mengangkat berat, tekan tubi, ‘pull up’, ‘plank’ dan sebagainya. Senaman otot yang dilakukan secara berterusan akan menambahkan sel sel otot dan kesan jangka masa panjangnya anda akan kelihatan seperti berotot (‘muscular’) dan seseorang lelaki mungkin menjadi siulan wanita (Ini hanya sekadar penerangan ringkas. Yang sebetulnya proses membina badan ini tidak semudah yang disangka dan ia mesti datang dengan pemakanan yang betul, bimbingan dari pakar serta rehat yang mencukupi).
Kedua dua senaman kardio dan otot memerlukan tenaga dan tenaga ini diperolehi daripada proses pembakaran makanan yang berlaku di dalam badan. Secara teori, untuk orang yang mengalami masalah obesiti dan ingin mengurangkan berat badan, selain daripada pembakaran makanan, sumber lain yang boleh membekalkan tenaga adalah lemak yang dibakar menjadi sumber tenaga. Jadi, apabila lemak lemak yang menggeleber di sekitar perut dibakar, dapatlah kita merasa kesan ‘kurus’.


