Payung Terjun LIMA - 3 Anggota Tentera Terbunuh
3 anggota tentera Malaysia - 2 wanita dan 1 lelaki - terbunuh ketika menjalani latihan payung terjun sempena pertunjukan Pameran Antarabangsa Maritim, LIMA (Langkawi International Maritime Airshow) semalam. Ketiga tiga mereka tersasar dari sasaran pendaratan kerana ditiup angin deras dan terjatuh ke dalam laut dan lemas.
11 penerjun juga mengalami kegagalan mendarat dan mengalami kecederaan. Seorang daripada mereka dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Langkawi.
Mereka yang terbunuh ialah Siti Hajar Yaakob, 24, Nurul Wahida Yusof, 20 dan Raymond Duncan, 25.
Kesemua mereka adalah di antara 138 anggota pasukan tentera yang membuat penerjunan latihan apabila angin kencang yang bertiup dengan tiba tiba menolak mereka jauh terlepas dari sasaran sehingga ada di antara mereka yang tersangkut pada pokok. Diantara 18 hingga 20 orang terjatuh ke dalam laut, termasuk 3 yang maut.
Majlis perasmian LIMA akan diadakan hari ini.
Mayat ketiga-tiga mereka diterbangkan dengan pesawat TUDM M30-12 yang mendarat di lapangan terbang TUDM, Subang pada pukul 11.30 malam. Jenazah Nurul Wahida dan Siti Hajar, masing-masingnya dihantar menaiki kenderaan jenazah ke Perak dan Melaka. Mayat mendiang Raymond pula diterbang ke Sarawak dengan pesawat TUDM.
Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera, semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini.




